Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, January 15, 2014

Malang Di Bukit Tabor - Satu Lagi Kematian

Tempat ni memang bahaya kepada yang kurang berpengalaman
Dulu saya pernah mendaki dan abseiling di lokasi ini

Di sinilah juga salah satu lokasi yang disenaraikan oleh KBS untuk geng-geng saya dulu menjalani latihan pratikal untuk melayakkan kami mendapat pengiktirafan sebagai Pemimpin Rekreasi Luar Kebangsaan oleh Kementerian Belia dan Sukan

Di sesetengah tempat kami terpaksa memasang tali keselamatan untuk melepasi genting dan menyusuri lereng yang tinggi berbatu kapur dan sempit

Apa pun yang berlaku kepada mangsa ini adalah di atas takdir dan kehendakNya jua. Harapkan keluarga arwah bersabar dan redha menerima penentuannNya. - al-Faatihah.......

Pendaki Wanita Mati Jatuh Gaung Di Bukit Tabur
KUALA LUMPUR: Anggota Bomba dan Penyelamat mengangkat mangsa, Soleha Abd Rahman, 25, yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 60 meter di Bukit Tabur, Taman Melawati pada Selasa. Mangsa kemudiannya dibawa menaiki helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat ke Hospital Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Seorang pendaki wanita yang dilaporkan terjatuh ke dalam gaung di Bukit Tabur, Taman Melawati di sini mati selepas ditemui pengsan oleh pasukan mencari dan menyelamat tengah hari Selasa.
Soleha Abd Rahman, 25, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 4 petang dan dilaporkan mengalami pendarahan dalaman akibat terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 60 meter itu.
Ketua Polis Daerah Ampang, ACP Khairuldin Saad berkata mangsa meninggal sebaik tiba di hospital.
Pelajar jurusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu mendaki bukit bersama tujuh rakannya kira-kira 8 pagi.
Ketua Bahagian Operasi Pasukan Khas Jabatan Bomba dan Penyelamat, Penolong Penguasa Juyana @ Azlan Musa berkata mangsa dibawa keluar daripada tempat kejadian ke HKL dengan sebuah helikopter Unit Udara JabatanBomba dan Penyelamat Malaysia.
"Mangsa ditemui pengsan di tebing curam di kawasan berbatu dan mengalami pendarahan di bahagian mulut dan mungkin terdapat kecederaan dalaman," kata Azlan kepada pemberita.
Beliau berkata pasukan penyelamat mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mangsa dari gaung yang curam itu.
"Mangsa dikatakan terjatuh ketika berada di Check Point 10 untuk ke Check Point 11 manakala tujuh lagi rakannya dilaporkan selamat dengan menuruni bukit menggunakan trek asal.
"Ketika kejadian, kesemua mereka berada pada ketinggian kira-kira 470 meter dari aras laut," katanya.
Insiden ini merupakan kali kedua berlaku di bukit yang sama.
Pada 5 Jan lepas, Noor Hasmahani Hashim, 28, dari Kampung Baru dipercayai mendaki secara bersendirian sebelum dia tergelincir ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter.
Azlan berkata kontur bukit itu memang menjunam dan tidak selamat kerana pendaki perlu memegang batu-batu kecil dan melepasi pokok-pokok renek ketika mendaki.
Operasi mencari dan menyelamat Soleha disertai 60 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pandan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan polis.
Kakak sulung mangsa dari lima beradik itu, Fadilah Ab Rahman, 38, berkata beliau tidak menyangka perkara itu berlaku kepada adiknya.
"Baru bulan lepas saya baca akhbar ada orang jatuh dari Bukit Tabur. Tapi tak sangka perkara ini terjadi pada adik saya pula.
"Arwah memang minat aktiviti lasak tetapi tidaklah terlalu ekstrem sampai mendaki bukit," jelasnya.
Fadilah berkata jenazah adiknya akan dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Padang Machang, Manir, Kuala Terengganu malam ini selepas bedah siasat dan akan dikebumikan pada Rabu. "Arwah merupakan seorang yang periang dan peramah. Saya reda dengan pemergian dia, Allah lebih sayangkan arwah," katanya.- sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa